Enam bulan yang lalu saya melawat Pulau Perhentian Besar dan menginap di PIR. Tempatnya sungguh indah dan terasa tidak mahu pulang kerumah. Pasirnya putih dan air lautnya bersih.Masih ternampak anak-anak ikan pelbagai warna bermain arus di dasar laut di celah-celah batu coral. Apa yang menyayat hati saya ialah apa yang berlaku dari kesan pembangunan di Pulau Perhentian Besar dan Kecil. Sebahagian besar anak-anak muda terjebak dengan dadah. Saya dapati berbagai usaha dibuat oleh pihak berkuasa tetapi kurang berjaya kerana kurang kerjasama dari masyarakat setempat. Jika kita pilih untuk tidak membaiki kerosakan,kita tunggulah kehancuran.Ia tetap akan tiba,hanya masa yang menentukan tarikhnya.
Perkataan gawat amat kerap digunakan di Malaysia ketika ini.Ianya semakin popular sejak akhir-akhir ini semasa negara menghadapi pelbagai kegawatan-gawat air,gawat ekonomi dan sekarang gawat politik pula.Saya rasa tidak ramai yang pernah mendengar, tambah lagi mengerti maknanya sebelum bulan Julai,1997.Sekarang,perkataan ini sudah menjadi sebutan biasa di bibir semua orang,khususnya mereka yang terlibat di bidang perniagaan.Malah,ianya diguna sewenang-wenangnya sebagai satu alasan yang mudah diterima umum.Segala-galanya dibebankan kepada gawat,terutama kalau lambat bayar hutang....gawat,gawat,gawat?
Semasa makan nasi kerabu hitam di satu pagi di Lorong Purnama,Kota Bharu seorang murid sempat bertanya gurunya berkenaan pelbagai kegawatan yang dialami kita sekarang..
Ustaz:Saya amat tertarik bila orang menyebut perkataan gawat.Dalam ejaan jawi,perkataan ini di mulakan dengan huruf "ga".
Murid:Apa hebatnya huruf "ga"?
Ustaz::Bahasa Melayu kita memang hebat.Banyak perkataan kita yang bermula
dengan "ga" mempunyai makna yang hebat,lucu dan mengawatkan.Contohnya:
gementar,gelagat,gelojuh,gemuk,gagah,gemuruh,geli,gigit,goncang,gelabah,gong,gila,gatal...
Murid:Boleh saya tambah sikit Ustaz.Geletik Gelenye;-(Loghat
Kelantan,maknanya lebih kurang gatal atau gelabah)
(Kami ketawa kuat,ramai yang melihat gelagat kami berdua ni.Kena
butir geli manalah)
Ustaz:Kesitu pula perginya!!!Apa perkembangan politik di KL sekarang?Kita di Kelante duk nanti tengok dulu...
Murid:Tak tahulah apa nak komen, Ustaz.Saya sekarang gawat fikiran pula...
Ustaz:Ini satu lagi pertambahan bahasa pagi ini.Ini pulut bakar best dari Jalan Gajah Mati.Gerenti manis macam ore tino kita di Kelantan.
Murid:Patutlah ramai di Kelantan yang kena penyakit kencing manis.Tak silap sampai 120,000 orang -hampir 10% dari ore Kelante.Kak Mah, bagi saya kopi O kurang manis ya....
Begitulah cebisan bicara selepas mereka pulang dari sembahyang subuh
dan menghadiri kuliah ugama di Masjid Maahad Muhammadi disatu pagi Jumaat.
September,1998
Dibawah ialah maklumbalas dari Mr Pear dari KB.
Assalamu`alaikum Abe .
Lucu cerita Abe . Boleh Pear tambah sedikit.... sebenarnya kata-kata
yang bermula dengan huruf "ga" yang disebut oleh Abe tidak berakhir
setakat itu sahaja. Dalam dunia bunyi ada kata-kata yang berawal huruf
GA yang melambangkan makna bunyi atau suara yang bising seperti guruh,
guntur...gerudum. Dalam dunia emosi terdapat kata-kata yang berawal
huruf GA yang membayangkan perasaan sedih dan gerakan cemas seperti
gundah gulana, gerunyut, gelisah, gemuruh, gugup dan akhir
sekali...gila.
Biar apapun perkataannya, yang kita tahu akibat setiap kegawatan akan
berakhir dengan dua situasi yang juga bermula dengan huruf "ga" iaitu
girang gembira bagi peniaga-peniaga matawang seperti Soros kerana
mendapat untung durian runtuh dan gundah gulana kepada orang-orang
yang
rugi... biar apapun jangan jadi gila sudahlah kerana rezeki Allah itu
masih banyak.
Sekarang guruh-guruh mulai berbunyi, tidak lama lagi hujan akan
turun...alamat gawat pula kami di pantai timur dengan bah... satu lagi
jenis gawat.
Tujuh tahun dulu...
Semasa pulang kekampung dua minggu yang lepas,aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di Pantai Irama bersama anak bungsuku yang baru berusia 10 tahun.Oleh kerana cuaca selalu redup dan hujan di kawasan pantai timur di bulan Disember ,kami bertolak dari rumah jam 7:00 pagi.Matahari sudah keluar tetapi tidak kelihatan kerana dilindungi awam hitam disana sini.Semasa sampai kami dapati ada dua orang anak muda sedang mengail ikan.
Suasana dipantai diwaktu begini amat tenang,hanya bunyi deruan ombakberkejaran sesama mereka dan ombak kecil memecah dipantai.Biasanya aku boleh melihat pulau-pulau berdekatan,tetapi cuaca redup dan kabus menghalang penglihatan.Sambil berjalan menyisiri gigi air,anakku mengambil peluang bermain mengejar bueh-bueh yang membasahi pantai.Sambil berjalan aku bercerita kepadanya beberapa kisah lama semasa aku seusia dengannya bermain bersama rakan dan ahli keluarga di Pantai Irama yang agak tersohor di Kelantan.Pantai Irama terletak di Jajahan Bachok dan lebih kurang 20km dari Kota Bharu.Ianya masih lagi dikunjungi anak muda dan keluarga dihujung minggu untuk berehat dan bermain pantai...
Semasa mencari ruang letak kereta,ingatanku terimbas kembali ketahun 60'an dulu semasa pantai ini masih kekal dengan kecantikan semula jadinya.Aku mencari-cari tempat ibadat seorang alim terkenal bergelar Tokwi Bachok.Beliau hidup seorang diri dalam sebuah pondok kecil yang dibuat dari daun dan pelepah kelapa sahaja.Kerjanya hanyalah beribadat dan sentiasa dikunjungi orang ramai jauh dan dekat.Malang sekali ,semua ciri-ciri terdahulu telah hilang ditelan pembangunan untuk mengindahkan pantai.Di dekad 80'an ,pantai ini berubah wajah untuk dijadikan satu resort dengan terbinanya chalet,restoran,gerai makanan,tempat permainanan kanak dan seni taman landskap.Malang sekali,sebagaimana ditempat lain juga kemudahan-kemudahan sebegini tidak terjaga dan terurus sewajarnya.Kita amat ghairah membina tetapi keseluruhan gagal mengurus dan menjagainya.Bachok adalah sebuah daerah yang paling mundur di Kelantan dari semua aspek pembangunan-tidak kira dizaman pemerintahan BN atau PAS.Tidak keterlaluan jika saya katakan ianya adalah daerah yang termundur dan termiskin dalam Malaysia.Alaf baru tidak membawa apa-apa makna bagi Bachok kerana ianya masih ketinggalan 20 tahun dalam abad ke 20.Kesedihan dihati aku lebih muram dari suasana pagi itu....
Sambil berjalan dan bercerita kepada anakku ,aku terpandang sebuah binaan berupa kotak besar berwarna gelap dihujung pantai.Ianya sebuah kubu binaan Inggeris semasa berperang dengan Jepun dalam Perang Dunia Ke-2 dulu.Apabila sampai dikubu,aku amat terkejut melihat keadaannya yang terbiar tanpa jagaan dan separuh darinya ditenggelami pasir! Jika keadaan ini berlarutan,bahan sejarah saperti ini akan hilang ditelan laut.Mengikut cerita orang tua yang aku temui dipantai pagi itu,Inggeris membina banyak kubu dari Tumpat ke Kuala Besut.Mengikut beliau,di Bachok hanya tinggal lima kubu sahaja di Perupuk,Pulau Belonggeng,Nipah,Tok Burung dan di Kubang Golok.Begitulah nasib bahan sejarah di Pantai Irama yang gagal dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dan masyarakat setempat.
Semasa berjalan pulang kekeretaku,aku hampir terpijak ketulan najis manusia yang masih panas lagi!Rupanya,masih ada lagi segelintir masyarakat Bachok yang tinggal di persisiran pantai yang masih mengamalkan budaya berak ditepi pantai waktu pagi.Walaupun negara sudah Merdeka 42 tahun,mereka ini masih hidup dengan budaya tahun 50'an.
Aku amat sedih memikirkan
nasib Bachok ....
Nota:Kisah ini berdasarkan lawatan ke Pantai Bachok pada 18/12/99