Permainan gasing adalah satu permainan tradisional yang bukan hanya di main oleh kanak-kanak.Orang dewasa juga terlibat sama.Kadang kala sebahagian yang kurang mematuhi ajaran agama terlibat dengan perjudian dalam perlawanan gasing.Kami kanak-kanak terpaksa buat sendiri jika kami hendak bermain gasing.Tidak ada gasing dijual dipasaran dalam tahun 50'an dan awal 60'an.
Pada satu masa berlaku perlawanan sengit diantara orang-orang Kampung Bukit Abal dan orang Besut.Setiap kali perlawanan,Kampung Bukit Abal mengalami kekalahan,sehingga sampai satu peringat melibatkan maruah orang Kampung Bukit Abal tercabar.Satu malam, saya melihat ada orang datang kerumah saya dan mengetuk jendela bilik tidur bapa saya.Ayah saya menerima satu gasing yang cantik dari orang yang saya tidak kenali.Apabila saya bertanya kenapa datangnya waktu malam,bapa saya kata ini perkara sulit dan jangan beritahu ibu saya.Apabila saya terus bertanya apa yang ayah hendak buat dengan gasing dia terpaksa menceritakan perkara sebenar.
Ayah saya seorang guru agama dan memang tidak wajar terlibat dengan permainan gasing.Tujuan gasing dihantar secara sulit ialah kerana orang-orang Kampung Bukit Abal mohon ayah saya berdoa/menjampikan supaya gasing tadi menang dalam pertarungan akan datang!Saya terus bertanya dimana ayah saya terpaksa jawab ;jika tidak rahsianya akan terbongkar kepada ibu saya yang amat tidak suka ayah saya terlibat dalam kerja jampi-bomoh gasing!
Rahsianya saya simpan sehingga akhir hayatnya.Apabila diberitahu,saya berjanji tidak akan membertahu ibu saya kerana saya pun bersetuju dengan tindakan ayah saya.Apa yang ayah saya buat dengan gasing tersebut saya tidak tahu.Selepas itu,saya diberitahu oleh ayah saya yang kumpulan gasing orang-orang Kampung Bukit abal menang dalam pertandingan.Ayah saya amat gembira...rupa-rupanya selepas kemenangan tersebut orang-orang Bukit Abal membawa beberapa lori berisi kayu kekampung saya untuk membantu ayah saya membina sekolah agama.Sekarang sekolah tersebut telah dibina semula dan terdapat 1800 murid.
Ini,bagi saya,adalah satu pelajaran dari matalamat menghalalkan cara.
Di akhi tahun 50'an dan awal 60'an,masih ramai rakan-rakan yang tidak berkasut kecuali semasa hadir di sekolah.Rata-rata harga kasut adalah antara RM2 hingga RM5,tapi ada juga masih tidak mampu.Walaupun saya ada kasut,tapi kami kanak-kanak dizaman itu lebih senang tidak berkasut apabila bermain.
Apabila saya ditawarkan untuk belajar di Sekolah Datuk Abdul Razak di awal tahun 1965,saya terpaksa membeli kasut kulit berwarna hitam.Bila tiba masanya untuk memulakan memakai kasuk kulit untuk menaiki keretapi,saya amat bergembira kerana dapat pakai kasut kulit baru.Harganya,jika tidak silap ingatan saya,tidak lebih RM10.Sepuloh ringgit dizaman itu amat banyak nilainya.Inilah jumlah yang ibubapa saya hantar setiap bulan sebagai duit kocek.Bayangkanlah RM 10 untuk belanja minuman dan makan semasa rihat dll dalam tempuh satu bulan.
Dato' Tengku Mahmud,Presiden Penyatim pernah menceritakan kepada saya yang beliau tidak dapat tidur sampai kepagi kerana dapat kasut kain baru apabila beliau mumulakan persekolahannya di Setiu,Terengganu dalam tahun 50'an.
Apabila anak-anak saya meningkat umur remaja dalm tahun 90'an, mereka meminta saya belikan kasuk Air Walk berharga RM200 sepasang.Hati saya tersentak kerana teringat semasa saya remaja dulu kasut kami tidak lebih dari RM20! Baju Clubman saya pertama di beli di Tanjung Malim,Perak dengan harga RM5!
Duit RM5 menjadi satu kenangan sedih kepada saya.Semasa saya berada di SDAR,ada satu manusia dari kampung saya yang kalah judi dan berhutang dengan saya sebanyak RM5 dan berjanji untuk membayarnya dengan masa sebulan.Saya tunggu ,dari sebulan menjadi setahun;dari setahun menjadi dekad..sehingga saya pun lupa. Yang saya amat terharu, selepas 30 tahun kemudian si tahi judi ini telah menjadi orang yang baik dan hendak pergi menunaikan haji.Dia datang mencari saya dan membayar balik wang RM5 yang berhutang daripada saya dan memohon maaf.Saya amat gembira yang beliau sudah bertaubat.
Kaki ayam juga adalah nama sejenis kueh goreng yang dibuat dari ubi keledek yang dipotong saperti French fries.Rasanya amat sedap tapi susah untuk mendapatnya sekarang.Mungkin sudah kekurangan bekalan ubi atau ramai yang sudah bertukar selera kepada fries di KFC atau McDonald.